SUKAN LAIN
Andre mahu perbaharui rekod kebangsaan
Andre Anura Anuar bakal berdepan jaguh para, Abdul Latif Romly, untuk menentukan siapa raja lompat jauh kebangsaan apabila mereka berentap dalam saingan Terbuka Kuala Lumpur di Bukit Jalil bermula esok.
Lompat jauh menjadi antara acara yang mencuri tumpuan bagi saingan Terbuka Kuala Lumpur 2019.
Andre bakal berdepan cabaran daripada atlet yang memiliki reputasi besar, termasuk Latif, tetapi dia berikrar tidak mahu memberikan laluan mudah buat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu.
"Kehadiran Latif Romly bakal mewujudkan persaingan sengit kerana semua tahu dia merupakan pemenang emas Paralimpik Rio tiga tahun lalu. Saya akan buat yang terbaik dan menyasarkan untuk memperbaharui catatan peribadi, mungkin 7.73 atau 7.75 meter," katanya.
Dalam masa sama, walaupun mengakui Latif meraih catatan peribadi lebih baik berbandingnya, iaitu 7.85m, atlet dari Sabah itu tidak mahu menjadikan situasi itu sebagai alasan untuk dia gagal berusaha mencipta rekod kebangsaan yang baru.
"Mungkin kalau dilihat daripada catatannya, dia sedikit ke depan. Saya akan cuba mengatasinya dan memperbaharui rekod kebangsaan."