Anak pelakon Rita Rudaini memberi impak besar buat kuartet 4x400 meter (m) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar yang memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sukan Daerah (MSSD) Sabak Bernam, hari ini.

Airit Rayyan Rizqin Mohamad Aidil Zafuan bersama Raja Muhammad A'Yyash Raja Mohd Sidqi, Ammar Haziq Azlan Abdul Aziz dan Ilham Muqhriez Nurul Hisyam mencatatkan larian terpantas dengan masa tiga minit 58.47 saat.

Kejayaan itu sekali gus meleburkan rekod selama 17 tahun milik Sekolah Menegah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan, Sekinchan dengan catatan empat minit 97 saat bagi kategori lelaki acara bawah 15 tahun lelaki.

Terdahulu, Airit Rayyan unggul apabila memecah rekod 100 dan 200 m lelaki bawah 15 tahun dalam kejohanan sama.




Airit Rayyan memecah rekod 100 m selepas mencatat masa 11:44 saat yang sebelum ini disandang, Norazizi Sobari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Aziz sejak 2004 dengan catatan 11.58 saat.

Kejayaan berganda dicipta Airit Rayyan dalam acara 200 m apabila memecah rekod milik Lucas Theng Chen Yi dari SMJK Yoke Kuan.

Airit Rayyan mencatat masa 23:81 saat berbanding rekod lama 24:00 saat milik Chen Yi.

Dalam pada itu, beberapa acara lain turut berjaya memecah rekod baharu bagi kejohanan tersebut.

Rakan kepada Airit turut mencipta sejarah apabila dinobat sebagai olahragawan bawah 15 tahun selepas berjaya memecah rekod selama 29 tahun bagi acara 1,500 m.

Raja Muhammad meraih catatan 5 minit 28 saat, memecah rekod yang dicipta pada 1999 oleh M Murali yang mencatat 5 minit 01.62 saat.

Kredit: Sinar Harian