PARALIMPIK
Allianz: Noor Askuzaimey tekad bangkit di Los Angeles
Siapa sangka percubaan selepas melahirkan anak membawa tuah berbeza buat atlet boccia negara, Noor Askuzaimey Salim.
Kegagalan dalam penentuan pingat gangsa Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini ibarat pengajaran bermakna buatnya, bukan sahaja di gelanggang, malah untuk diadaptasi dalam kehidupan sehariannya.
Mengakui tidak pernah mengenali sukan boccia sebelum itu, Noor Askuzaimey bertekad untuk membuat kemunculan lebih sempurna dalam Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.
Iklan
"Boccia ini bagaikan kehidupan saya dan ia juga sumber rezeki saya," katanya dalam satu laporan khas yang disediakan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Pada awalnya saya tidak tahu apa itu Boccia, saya tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya kini sudah melibatkan diri dengan Boccia sudah hampir dua tahun.
"Sebenarnya ia pencapaian di luar jangkaan (dalam Sukan Paralimpik). Ia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran.
"Bagi saya, apa yang saya lakukan itu adalah apa yang saya cuba persembahkan. Saya tidak pernah bertemu pemain daripada Amerika Syarikat, jadi ia memang cabaran yang besar kerana kalau ikutkan, mereka jaguh dunia.
"Sewaktu penentuan tempat ketiga itu, saya agak berdebar-debar juga kerana saya tidak tahu kemampuan saya tetapi saya cuba kuatkan diri.
"Saya bertemu dengan pemain di ranking pertama dunia dan tidak pernah berdepan dengannya sebelum itu.
"Saya sudah bercakap dengan suami bahawa saya akan terus mencuba untuk mendapatkan apa yang saya mahukan.
"Sasaran saya kini adalah untuk ke Los Angeles pada 2028 jika diizinkan," katanya.
Must-Watch Video