Jaguh karate Asia, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik enggan terus dibuai kejayaan lalu sebaliknya berdepan realiti sebenar untuk meningkatkan kualiti pertempuran.

Untuk itu, Arif ambil pendekatan ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi demi berguru bersama idolanya, Prem Kumar, yang jauh lebih hebat daripada aspek pengalaman.

Arif terbuka dengan pendekatan pertempuran yang baru untuk pastikan dirinya kekal relevan di peringkat antarabangsa.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou itu tekad untuk membuktikan kejayaan mengungguli kategori bawah 84kg bukan sekadar nasib malah, bersedia untuk mengulangi pencapaian tersebut di Kejohanan Persekutuan Karate Asia (AKF), September depan.

"Saya sedang mencuba untuk mengikuti jejak langkah Prem Kumar demi tampil lebih ganas.

"Daripada serangan, perlu mempunyai kombinasi ketenangan dan agresif selain mengekalkan rutin harian untuk mendapatkan kecergasan di tahap terbaik," katanya.