Ajaz mahu pemain negara tingkat tahap kecergasan, taktikal

Penulis Jemputan
Mei 5, 2019 17:52 MYT
Susulan kegagalan wakil negara menempah tempat ke pentas akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia 2019, ketua jurulatih skuad skuasy negara, Ajaz Azmat, menganggap barisan atlet perlu meningkatkan tahap kecergasan dan taktikal yang digunakan.
Bagi Ajaz, mereka terlalu terburu-buru untuk menamatkan saingan meskipun tidak mempunyai tahap kecergasan memberangsangkan sehingga memberi peluang kepada pihak lawan meraih mata.
Kejohanan itu menyaksikan tiga pemain negara, Low Wee Wern, S. Sivasangari serta juara remaja dunia 2016, Ng Eain Yow, tewas di pentas separuh akhir, semalam.
Bagaimanapun, Ajaz berpuas hati dengan prestasi dipamerkan barisan pemain selain mengakui mereka masih di landasan tepat untuk memburu kejuaraan dalam saingan akan datang.
"Pemain-pemain yang menyertai saingan ini adalah lebih berpengalaman berbanding pemain negara," katanya.
"Kami masih di landasan untuk membentuk skuad yang berkualiti dengan sasaran untuk meraih dua pingat emas dalam Sukan Asia akan datang."
Sementara itu, Ajaz melihat Eain Yow dan Sivasangari mempunyai peningkatan dalam persembahan mereka di pentas saingan individu Asia selaku pemain muda negara.
"Sivasangari dan Eain Yow telah melakukan kejutan dalam suku akhir dan mereka masih lagi dalam proses peningkatan. Saya menjangkakan keputusan yang positif bakal dilakar dalam saingan akan datang."
;