SUKAN LAIN

Ajaz kagum komitmen Sivasangari

Penulis Jemputan 08/07/2019 | 12:05 MYT
Ketua jurulatih pasukan skuasy kebangsaan, Ajaz Azmat, menganggap S. Sivasangari di landasan tepat untuk memikul cabaran sebagai pemain perseorangan wanita utama negara selepas merangkul gelaran juara perseorangan Kejohanan Skuasy Terbuka Australia 2019.
Sivasangari menewaskan pemain di ranking ke-47 dunia dari Jepun, Satomi Watanabe, 5-11, 11-9, 11-9, 11-9 dalam tempoh 39 minit dalam final di Bega Country Club, Australia, semalam.
Bagi Ajaz, ia prestasi baik pemain berusia 20 tahun itu meskipun terpaksa membahagikan masa dalam memberi tumpuan kepada pelajaran dan latihan.
Kejayaan itu menjulangnya sebagai pemain ketiga negara yang menjuarai kejohanan berkenaan selepas Datuk Nicol David (2011) serta Low Wee Wern, tahun lalu.
"Dia kini melanjutkan pelajaran di Universiti Cornell, New York, dan mula bekerja keras untuk melakukan persiapan sejak enam minggu lalu. Dia bermain dengan baik sekali.
"Dia bakal menghadapi Kejohanan Terbuka (di Bukit Jalil, September depan) sebelum kembali menyambung pelajaran.
"Di New York, dia akan menyertai beberapa kejohanan bertaraf PSA.
"Kami akan memastikan dia terus di landasan tepat sempena Sukan SEA 2019 dan Kejohanan Asia tahun depan," katanya.
Sementara itu, pengendali dari Pakistan itu turut berpuas hati dengan prestasi Mohd Syafiq Kamal yang terpaksa akur muncul naib juara selepas tumbang kepada wakil Perancis, Victor Crouin, 8-11, 5-11, 4-11 dalam final di Australia itu.
"Syafiq bermain baik memandangkan ini adalah penampilan pertamanya di pentas akhir untuk kejohanan bertaraf Cabaran Jelajah 10 -- tahap ketiga. Dia mempamerkan aksi memberangsangkan.
"Saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan barisan pemain," ujarnya.
;