Skip to main content

Gusti

AJ Styles kembali bergelar juara; Pertemuan epik Cena-Nakamura

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

aj-won-us-title.jpg
Kejuaraan Amerika Syarikat WWE kembali kepada pemilik asalnya setelah AJ Styles berjaya menjadi pemenang dalam perlawanan tiga penjuru yang berlangsung di acara Smackdown Live minggu ini.

Dalam perlawanan tersebut, AJ telah melakukan tindanan pin ke atas Chris Jericho yang membuat kemunculan semula setelah berehat sejak Mei, membuatkan Kevin Owens yang baru sahaja merampas kejuaraan tersebut daripada AJ di acara Battleground Isnin lalu, berputih mata.

Ketika segmen pembukaan, Owens mendabik dada kerana berjaya menewaskan AJ dalam kesudahan yang agak kontroversi di Battleground, seterusnya menegaskan yang beliau hanya akan mempertaruhkan kejuaraannya pada minggu hadapan. Itu pun jika benar-benar ada pencabar yang layak untuk mendepaninya.

Kemunculan Jericho dan AJ yang mengganggu ucapan Owens, memberi ilham kepada Pesuruhjaya Smackdown Live, Shane McMahon untuk membuat satu perlawanan tiga penjuru di segmen kemuncak Smackdown minggu ini, dengan Kejuaraan Amerika Syarikat yang disandang Owens menjadi taruhan.



Perlawanan sengit di antara tiga bintang ini bermula rancak dan menemui titik penyudah apabila Owens berjaya melakukan gerakan Hempap Katak dari puncak tali paling atas gelanggang tepat ke atas tubuh Y2J.  Namun malang buat Wajah Terbaru Kebanggaan Amerika ini apabila AJ dengan pantas melontarnya ke luar gelanggang dan terus menindan Jericho yang sedang lemah tidak berdaya.

Dengan tiga kiraan pin oleh pengadil, AJ kini adalah juara sebanyak 2 kali dan perkara ini telah mengundang amarah di hati Owens. Dengan nada dan emosi yang berapi-api, Owens mencabar AJ untuk bertemu sekali lagi secara satu lawan satu di acara Smackdown minggu hadapan, dengan Kejuaraan Amerika Syarikat dipertaruhkan sekali lagi.



Jika Owens gagal untuk menumbangkan AJ minggu hadapan, tidak mustahil sengketa antara Owens dan Shane akan bermula. Ketidakpuasan hati Owens sudah tentu akan membawanya menghadap anak lelaki sulung Vince McMahon itu. Sekiranya rundingan untuk memuaskan hati gagal dimeterai, tidak mustahil Owens dan Shane akan mengikat janji temu di acara Summerslam 21 Ogos depan, mengulangi sengketa antara Shane dan AJ di acara Wrestlemania pada April lalu.

Pertemuan impian Cena-Nakamura minggu hadapan

Setelah berjaya membenam Randy Orton sebanyak tiga kali berturut-turut seterusnya berjaya mempertahan Kejuaraan WWE sejak Mei lalu, Juara WWE Jinder Mahal muncul di acara Smackdown Live minggu ini bagi mendambakan pencabar baharu.

Dalam ekspedisi untuk melangkah ke acara kedua terbesar WWE iaitu Summerslam bulan hadapan, Jinder mahukan seorang pencabar yang benar-benar berkredibiliti dan mahukan pihak pengurusan segera menamakan calon lawan baharunya.

Ini telah mengundang Juara Dunia WWE sebanyak 16 kali, John Cena ke hadapan dan dengan senang hati, Cena menawarkan dirinya untuk menjadi lawan Jinder di Summerslam, seterusnya bergelar Juara WWE buat kali ke-17.



Tindakan Cena ini sedikit sebanyak pasti akan mengecewakan sebahagian penonton kerana merasakan, cukup-cukuplah Cena sahaja yang menjadi ayam tambatan untuk mengisi kekosongan kerusi calon pencabar utama. Dengan jadual padat Cena di luar WWE hari ini, Cena sepatutnya memberikan ruang dan peluang kepada muka baharu untuk menggalas tanggungjawab sebagai wajah syarikat.

Namun rasa lega segera muncul apabila Pengurus Am Smackdown, Daniel Bryan membuat pengumuman mega. Untuk melayakkan diri sebagai pencabar utama, Cena tidak hanya akan diberikan peluang begitu sahaja. Di acara Smackdown minggu hadapan, Cena perlu berhadapan dengan bekas Juara NXT dan bintang sensasi dari negara matahari terbit, Shinsuke Nakamura.



Pengumuman ini nyata mengundang kejutan kepada sebahagian besar penganalisis dan peminat gusti seluruh dunia. Ini kerana, perlawanan ini boleh dianggap sebagai sebuah perlawanan impian dan biasanya hanya akan diadakan di acara bayar dan tonton (pay per view) besar seperti Wrestlemania. Tak sangka pihak WWE bermurah hati dengan mengadakannya di siaran mingguan percuma seperti ini.

Namun tak kisahlah di Smackdown atau mana-masa sahaja. Pertembungan kali pertama antara Cena dan Nakamura ini pastinya ditunggu-tunggu oleh seluruh WWE Universe. Adakah gaya Strong Style Nakamura mampu menundukkan 5 moves of doom oleh Cena yang telah menjadikan bintang tersebut juara berganda selama ini?

Pemilihan Nakamura juga penulis kira amat tepat kerana selaku seorang lagenda di Jepun dan Juara NXT, Nakamura perlu ditempatkan dalam posisi sengketa kelas pertama. Agak malang bagi Nakamura, sejak menyertai roster utama Smackdown pasca Wrestlemania kelak, belum ada sengketa yang benar-benar menguji Nakamura dan ia tidak berapa diambil perhatian oleh peminat. Secara tidak langsung, ia memperlahankan momentum kecemerlangan yang telah dibawanya dari NXT.

Sengketa antara Nakamura dan Baron Corbin untuk beberapa bulan kebelakangan ini juga tidak membawa apa-apa impak mengujakan buat Nakamura. Dengan gaya perlawanan yang sedikit ‘lemau’ oleh Corbin, segala kehebatan Nakamura seakan disedut oleh Corbin membuatkan Nakamura juga kelihatan bosan dan lesu.



Tidak mustahil, perlawanan Cena dan Nakamura minggu hadapan akan berkesudahan dengan keputusan yang kontroversi. Baron Corbin yang masih berdendam dengan Nakamura barangkali akan mengganggu kelancaran perlawanan. Atau Jinder dan balacinya The Singh Brothers akan mengacau agar tiada yang menang dan Jinder akan kekal sebagai juara.

Jika ini berlaku, kita mungkin akan menyaksikan perlawanan tiga penjuru pula bagi Kejuaraan WWE antara Jinder, Cena dan Nakamura. Ini secara tidak langsung dapat memberikan saingan kepada perlawanan empat penjuru bagi Kejuaraan Universal oleh jenama Raw melibatkan Brock Lesnar, Braun Strowman, Roman Reigns dan Samoa Joe.


Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

 

Advertisement

Must Watch Video