Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, menegaskan bahawa dia enggan memikirkan mengenai jawatan pengarah teknikal buat masa ini.

Sebaliknya, pengendali itu berkata fokusnya ketika ini adalah untuk membina semula kekuatan skuad kebangsaan.

Katanya, setiap pemain akan dinilai bukan sahaja berdasarkan aspek prestasi, bahkan aspek sahsiah diri juga akan menjadi tumpuan utama.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Isnin lalu mengumumkan cadangan untuk memberikan mandat baru kepada Ahmad Jais selaku pengarah teknikal badan induk berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Jais berkata kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi: "Ketika ini, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara itu.

"Pada saya, adalah lebih baik untuk saya fokus bagaimana untuk menyediakan pasukan yang lebih mantap dan mampu memberikan prestasi yang lebih cemerlang.

"Saya harap kesemua peminat sukan sepak takraw dapat mendoakan agar persiapan pasukan kita berjalan dengan lancar.

"Setiap pemain akan diberikan peluang sama rata untuk mempamerkan kecergasan dan prestasi terbaik.

"Saya juga mengingatkan setiap pemain bahawa tiada tempat untuk mereka berasa selesa, maknanya setiap pemain perlu berusaha keras untuk merebut tempat dalam pemilihan pasukan kali ini," katanya.