Aerobic Dance Kebangsaan: Perak diangkat selaku juara, penganjuran kali ini lebih dekat dengan masyarakat

Shaiful Shamsudin
November 17, 2024 16:31 MYT
Perak menjuarai kategori dewasa Kejohanan Aerobic Dance Kebangsaan 2024 sementara Johor mengungguli kategori remaja yang berakhir di Datum Mall, Jelatek, hari ini.
Pertandingan yang dianjurkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang bermula di peringkat negeri sejak Ogos lalu itu menerima sambutan hangat daripada 1,983 peserta.
Ketua Setiausaha KBS, Dr. K. Nagulendran, menyifatkan aerobic dance ini sebagai salah satu sukan yang perlu didekatkan lagi dengan rakyat.
Dan usaha KBS sejak tahun lalu untuk menganjurkan kejohanan seperti ini di pusat beli belah nyata mewujudkan sokongan hangat bagi memperluaskan lagi sukan ini.
"Penganjuran kali ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang aerobic dance yang sangat aktif dan mendedahkan kepada peserta mengenai elemen-elemen berkaitan aerobic dance yang semakin mahsyur dan kita boleh lihat penglibatannya merangkumi pelbagai kaum.
"Kami akan bekerjasama dengan pusat membeli belah bagi tujuan serampang dua mata.
"Kalau diadakan di venue tertentu, hanya peminat sukan yang ke sana tapi di sini kami mungkin boleh membuatkan pengunjung teruja terhadap sesebuah sukan itu," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.
;