BERBASIKAL
Adiq mungkin tinggalkan TSG
Susulan kontrak pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan, tidak dilanjutkan, kini giliran Adiq Husainie Othman pula memberi bayangan mengikut jejak pakar pecut itu apabila belum menandatangani kontraknya untuk musim 2018.
Adiq menjelaskan dia memerlukan masa untuk memikirkan hala tuju kerjayanya bagi musim depan.
Ketika kontraknya akan tamat 31 Disember ini, pelumba itu sudah menerima beberapa tawaran daripada pasukan luar negara.
Dia pernah mewakili Drapac Porshe yang berpangkalan di Australia pada 2010 dan Champion System pada 2012 sebelum menyertai TSG pada 2014.
"Semua tahu saya ada sedikit isu dengan pihak pengurusan TSG tetapi dalam masa sama, saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan buat masa sekarang.
"Mungkin selepas aksi di China pada Disember, saya akan mengadakan sidang media," katanya.
Sementara itu, TSG pula sudah membuat keputusan muktamad mengenai kedua-dua pelumba berkenaan.
Pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu sudah melanjutkan kontrak bagi 10 pelumba sedia ada.
"Mungkin kami akan menawarkannya jawatan jurulatih (kepada Anuar) untuk akademi dan juga duta untuk TSG.
"Untuk Adiq, kami masih menunggunya menandatangani kontrak dan pihak TSG telah mengemukakan tawaran untuk kekal bersama TSG bagi sesi 2018," kata Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab.