Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, tetap positif walaupun Program Kesedaran Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak mendapat sambutan atlet utama negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Program Kesedaran Anti-Doping ini dianjurkan bagi mendidik atlet, jurulatih dan pegawai mengenai bahaya penggunaan bahan terlarang.
Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil atlet negara hadir seperti atlet angkat berat dan terjun selain pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Selebihnya adalah penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Walaupun tidak mendapat sambutan kumpulan sasaran utama, Dr Ramlan tetap positif.
"Saya bagi pihak ADAMAS merancang untuk menyarankan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai apa yang perlu dilakukan untuk menular secara lebih mendalam di kalangan atlet, supaya apa-apa mesej anti-doping ini dapat disampaikan bukan sahaja dalam acara-acara umum seperti ini tetapi juga dalam acara-acara harian," katanya.
Tahun lalu, sebanyak 14 kes doping berlaku di Malaysia -- jumlah ketiga tertinggi dalam sejarah sukan negara.
Lebih mengejutkan, situasi itu berlaku hanya beberapa hari selepas tiga atlet angkat berat China positif bahan terlarang menerusi proses ujian semula yang dijalankan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada tahun lalu memutuskan negara yang memiliki tiga atlet dikesan doping boleh digantung selama setahun.
"Peraturan ini sangat jelas bahawa setiap sukan dalam Sukan SEA, mereka sepatutnya peka dengan peraturan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa kerana adanya perbezaan.
"Misalnya kes angkat berat, Persatuan Angkat Berat Malaysia perlu tahu peraturan, limit dan kesan yang boleh mereka hadapi," kata Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Sukan Komanwel, Tan Sri Dr M. Jegathesan.
Shaiful Shamsudin
Sat Jan 14 2017