SUKAN LAIN
Adakah Eain Yow sebaris Beng Hee, Azlan?
Nama Ng Eain Yow kini senafas dengan dua ikon skuasy lelaki negara, Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar, selepas muncul juara Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, namun di manakah dia dalam pengembaraan menjadi pengganti mereka?
Kejayaan pemain berusia 21 tahun itu muncul juara Terbuka Malaysia kelmarin menyaksikan dirinya sebagai salah seorang daripada tiga wakil negara yang berjaya memenangi kejohanan tersebut.
Dua pemain yang dimaksudkan itu adalah Beng Hee dan Azlan -- masing-masing memiliki dua kejuaraan dalam pencapaian mereka.
"Semestinya mereka dalam kalangan terbaik dunia ketika bergelar pemain dan saya sangat berbangga meraih pencapaian yang sama seperti mereka," kata Eain Yow.
Di kemuncak kerjayanya, Beng Hee pernah menghuni tangga ketujuh dunia sementara Azlan turut berada dalam kalangan 10 terbaik dunia.
Persoalannya, adakah Eain Yow sendiri melihat ada kemampuan untuk menyamai pencapaian mereka satu hari nanti?
"Saya berasakan perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi pengalaman yang perlu diraih, terdapat kekurangan dalam permainan yang mampu dipertingkatkan lagi selepas ini," katanya.