Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh, masih belum menemui formula terbaik buat skuad negara lebih-lebih lagi memasuki fasa akhir permainan.

Sarjit mengakui tidak berselindung bahawa kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) mengecewakan dan ia menjadi pelantar untuk barisan kejurulatihan menilai situasi semasa pasukan.

"Kami ada peluang untuk melakukan jaringan tetapi kurang klinikal di dalam kotak D. Kami juga melepaskan gol yang agak mudah dan membenarkan Jepun untuk melakukan kebangkitan.

"Sekali lagi kami mendahului dan membenarkan lawan bangkit dengan memberi gol-gol yang tidak sepatutnya. Pemain berusaha keras tetapi kesilapan mudah telah memusnahkan harapan kami untuk memenangi perlawanan pada hari ini.




"Kami tidak menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan shoot-out, kerana kami yakin mampu untuk menamatkan perlawanan dalam tempoh 60 minit," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Begitupun, Sarjit tetap optimis nasib The Speedy Tigers menerusi sentuhannya.

"Secara ringkasnya ada beberapa perlawanan kami bermain baik kecuali bertemu India dan China.

"Kami perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti dan perlu tahu bermain untuk menang terutama apabila mendahului pihak lawan pada 5 minit terakhir," katanya lagi.