HOKI
ACT: Faizal mohon maaf jadi punca Malaysia terpaksa tarik diri
Penyerang senior skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari, tampil memohon maaf selepas dirinya dijangkit COVID-19 sehingga Malaysia terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh bermula Selasa ini.
Faizal, yang disahkan positif virus itu pada Rabu lalu, tidak mengalami sebarang gejala dan sedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas segala kesulitan yang dialami skuad kebangsaan yang kini perlu menjalani pengasingan selepas menjadi kontak rapatnya.
"Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada pasukan dan pihak pengurusan, terutama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, dan semua yang turut terlibat," katanya seperti yang dipetik laman web rasmi badan induk itu.
Iklan
"Saya mohon maaf disebabkan saya disahkan positif COVID-19, seluruh pasukan tidak dapat mengambil bahagian dalam Trofi Juara-Juara Asia. Saya minta maaf juga kerana meletakkan pasukan dalam situasi ini.
"Apa yang berlaku bukan sesuatu yang saya inginkan tetapi disebabkan ia terjadi, saya mengambil tanggungjawab ini. Disebabkan saya, pasukan tidak dapat ke Bangladesh dan itulah yang paling membuatkan saya terkesan kerana ia melibatkan pasukan.
"Saya juga telah sebaik mungkin mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, namun tetap dijangkiti kerana virus ini sesuatu yang tidak dapat dilihat.
"Sekali lagi, saya betul-betul minta maaf dan saya akan cuba berfikiran positif untuk menghadapi situasi ini. Saya tidak pasti dari mana saya mendapat jangkitan ini.
"Kini, saya perlu menjalani proses kuarantin selama 10 hari sebelum membuat ujian calitan sekali lagi. Saya berharap ujian calitan yang akan datang semuanya baik-baik sahaja," katanya.
Semalam, KHM mengesahkan skuad lelaki kebangsaan tidak akan beraksi dalam ACT gara-gara salah seorang pemain dijangkiti koronavirus.
Sumber: KHM
Must-Watch Video