Skip to main content

Sukan Lain

ACL, titik terendah Lego Sam

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lego-sam.jpg
Titik terendah bagi jaguh breakdance negara, Sam Lee Jek atau lebih dikenali sebagai Lego Sam, apabila terpaksa menolak tepi minat serta kariernya dalam dunia tarian selepas mengalami kecederaan ACL pada pertengahan tahun lalu.

Pada awalnya, dia menganggap ia bukan kecederaan yang serius dan menyertai beberapa pertandingan tarian untuk meneruskan perjuangan kariernya, namun semuanya terpaksa dihentikan selepas menjalani pembedahan pada Januari lalu.

"Apabila saya buat satu gerakan backflip ketika landing, saya merasakan ligamen pada lutut saya seolah-olah terkoyak tetapi tidak begitu sakit.

"Selepas itu saya tidak berfikir sangat, saya mempunyai pertandingan di Singapura dan saya masih menyertai pertandingan itu. Saya tidak menyangka kecederaan itu boleh menjadi lebih serius selepas itu," katanya kepada wartawan Nadi Arena.

Juara Sukan Sea Hanoi itu terpaksa akur dengan nasib yang melanda dirinya meskipun mengakui ianya begitu sukar untuk dilalui.

"Sangat susahlah bagi saya kerana sebelum ini jadual harian saya sememangnya dipenuhi dengan tarian, saya bertanding di merata tempat dan sekarang saya tidak mampu berbuat apa-apa.




"Bukan setakat menari, saya mahu berjalan juga sangat susah," katanya. 

Berbicara mengenai masa depannya, wakil pertama negara di peringkat akhir Kejohanan Redbull BC One World itu tidak mampu mengulas lebih lanjut selain hanya berharap agar segera sembuh daripada kecederaan itu.

"Saya tidak rasa saya mampu untuk menari seperti dahulu dan kembali pada prestasi saya sebelum ini, sewaktu tidak mengalami kecederaan. Jika saya mahu kembali bertanding selepas ini, saya perlu mengubah sedikit cara serta gaya tarian saya.

"Susah tetapi saya akan cuba sedaya upaya, sedikit demi sedikit. Apa yang saya perlu lakukan selepas itu saya masih tidak tahu tetapi saya berharap saya mampu pulih dengan cepat," katanya/ 

Ketika ini, Sam hanya mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap dirinya dan berusaha memastikan kesihatannya berada pada tahap yang terbaik.










 

Advertisement

Must Watch Video