BERBASIKAL
ACC: Intan Nur Irdrisha komited hadirkan kilauan pingat meski baru tamat SPM



Atlet berbasikal trek remaja negara, Intan Nur Irdrisha, menyifatkan dirinya berada di landasan terbaik untuk mengegar Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) dalam edisi kali ini.
Intan yang akan bersaing dalam acara Elimination Race, sebelum ini pernah meraih satu pingat perak dan dua gangsa ketika di India dalam edisi lalu.
Dia turut berharap peluang berlumba di laman sendiri kali ini dapat menjelmakan kejutan sekali gus mengharumkan nama negara.
"Saya baru habis SPM, jadi latihan agak sukar tetapi masih boleh kayuh dan raih pingat, dengan prestasi saya sekarang saya boleh hadirkan kilauan pingat untuk Malaysia," katanya.
Malah, jurulatih berbasikal trek remaja kebangsaan, Adiq Husainie, mengakui terdapat sedikit kekangan buat Intan kerana baru sahaja selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun, Adiq percaya pengalaman Intan tahun lalu mampu memberikan kelebihan kepada anak buahnya itu.
"Jika Intan, dia menang satu perak dan gangsa dalam edisi sebelum ini, tetapi tahun ini dia baru tamat SPM, dia bukan dalam prestasi terbaik.
"Tetapi saya percaya dengan pengalaman, saya harap Intan akan cuba ambil peluang dan membawa pulang pingat pingat untuk dirinya." tambahnya.