BERBASIKAL

ACC: Fatehah titis air mata gagal butirkan pingat hari terakhir

Penulis Jemputan 20/02/2018 | 11:17 MYT
Pelumba basikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa, tidak dapat menahan sebak selepas gagal menyumbang pingat buat Malaysia pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai, petang tadi.
"Saya sedih kerana beraksi sebagai wakil tuan rumah, namun saya telah melakukan yang terbaik dan hanya mahu sentiasa positif.
"Saya akan meneruskan latihan untuk menang dalam Sukan Asia nanti," katanya.
Itu luahan penuh kecewa Fatehah selepas dia sekadar menduduki tempat keenam yang juga terakhir dalam acara kegemarannya, keirin, setelah perlumbaan itu dimenangi Lee Wai Sze dari Hong Kong, diikuti Lee Hye Jin dari Korea Selatan di tempat kedua dan Zhong Tianshi dari China di tempat ketiga.
Fatehah mengakui sudah mencuba sehabis baik untuk meraih kedudukan podium, namun dia terpaksa akur apabila sekadar memenangi satu pingat gangsa dalam kejohanan itu bagi acara ujian masa 500 meter wanita.
"Bagi saya, ini adalah satu pengajaran dan pembakar semangat untuk meneruskan usaha dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia," tambahnya.
#Berbasikal #2018” #Asia #“Kejohanan #Trek” #“Fatehah #Mustapa” #Trek #“Velodrom #Nasional” #“Berbasikal
;