BERBASIKAL

ACC: Fadhil Zonis terpaksa akur terlepas podium

Stadium Astro
Hanis Natasya
24/02/2025
11:45 MYT
Sponsor Banner
ACC: Fadhil Zonis terpaksa akur terlepas podium
Pelumba berbasikal trek negara, Fadhil Zonis, terpaksa akur selepas terlepas pingat gangsa dalam acara 1 kilometer ujian masa individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 dengan perbezaan tipis hanya dibezakan 0.203s daripada kedudukan podium.
Pelumba berpengalaman negara itu hadir dengan misi besar untuk merampas semula pingat emas dalam acara kegemarannya dan sekali gus mencatatkan rekod kebangsaan baharu. Namun, dia terpaksa akur impiannya itu tidak kesampaian.
Fadhil memiliki rekod cemerlang dalam acara 1 kilometer ujian masa di Kejohanan Berbasikal Asia sebelum ini.
Namanya mula menjadi sebutan selepas meraih pingat perak dalam dua edisi berturut-turut -2020 dan 2022-, sebelum mencipta kejayaan gemilang dengan merangkul emas pada edisi 2023 yang berlangsung di Velodrom Nasional.
Namun, edisi tahun lalu menyaksikan Fadhil terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat jangkitan virus, menyebabkan peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan terlepas begitu sahaja.
Kini, setelah kembali ke pentas elit Asia, Fadhil hadir dengan impian besar untuk kembali menempatkan diri dalam kalangan pelumba terbaik. Namun, segala-galanya tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Fadhil menamatkan saingan dengan catatan 1 minit 00.896 saat, sekali gus terlepas podium selepas ketinggalan di belakang pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi.
Pingat emas menjadi milik Ryuto Ichida dari Jepun, manakala Qi Liu dari China merangkul perak.
Catatan kepantasan kali ini tidak jauh beza berbanding ketika meraih emas dua tahun lalu, dengan rekod 1 minit 00.559 saat.
"Saya ketinggalan sedikit sahaja, mungkin hanya beza satu basikal atau setengah basikal. Itu sudah rezeki saya hari ini. Saya sudah beri yang terbaik. Persiapan kami memang sukar, tetapi akhirnya saya kalah kepada pelumba yang lebih baik.
"Saya puas hati kerana sudah berikan segalanya. Sewaktu turun dari basikal tadi, saya tidak mampu berdiri lagi. Saya tahu saya telah berikan segala-galanya," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video