Sebanyak 27 institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Sabah menyertai Sukan IPT Sabah 2016 yang bermula hari ini.
Kejohanan selama dua hari bagi merebut Piala Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, itu berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu.
Antara sukan dipertandingkan ialah futsal wanita, sepak takraw, bola tampar lelaki dan wanita serta bola sepak.
Yap ketika berucap merasmikan kejohanan itu, berkata penglibatan IPT dalam kejohanan sukan adalah sumbangan besar dan perlu dihargai bagi mengharumkan nama IPT masing-masing dalam peningkatan mutu sukan.
"Temasya sukan seperti ini mampu memperlihatkan pelbagai kaum dapat bergaul sesama atlet untuk memupuk perpaduan kesukanan.
"Oleh itu, saya sarankan agar semua atlet yang menyertai kejohanan ini dapat bersatu- padu menjadi juara tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
Turut hadir pada majlis perasmian itu, Naib Canselor UMS, Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dan Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Hazlly Jali.
Terdahulu, Mohd Harun berkata penganjuran ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada pelajar IPT di Sabah untuk merasai suasana kejohanan besar seperti sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia.
"Bagi pihak UMS, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di atas kepercayaan dan sumbangan dana bagi merealisasikan kejohanan edisi pertama kali ini," katanya.
Tambah beliau, walaupun kejohanan itu hanya membabitkan penyertaan IPT di Sabah, namun ia juga merupakan platfrom bagi pemilihan atlet dalam menonjolkan bakat pelajar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Sukan Lain
27 IPT rebut Piala Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena