Skip to main content

Badminton

Zulfadli terlintas di fikiran Misbun

zulfadli.jpg
"Hanya terlintas di fikiran, belum ada sebarang perancangan," demikian reaksi ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, mengenai peluang pemain profesional seperti Zulfadli Zulkiffli, untuk menyertai skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia.

Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadual berlangsung di Alor Setar, Kedah awal bulan depan, menjadi cabaran awal buat skuad negara dalam misi melayakkan diri ke saingan Piala Thomas dan Uber di Bangkok pada Mei.

Lantaran itu, Malaysia perlu membentuk satu pasukan yang mampu memberi cabaran, sama ada dalam bahagian perseorangan mahupun beregu.

Sebelum ini, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menggesa Zulfadli agar menyertai kem latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) andai dia serius ingin membantu skuad negara.
 
"Buat masa ini, saya masih belum ada perancangan untuk mendapatkan khidmat di luar daripada BAM. Saingan di Alor Setar adalah kejohanan berpasukan dan semua pemain memainkan peranan penting," kata Misbun.

Sementara itu, Misbun akan mencadangkan barisan pemain untuk menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia dalam mesyuarat Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) BAM, Khamis ini.

Enggan memberi sebarang maklumat lanjut, ketua jurulatih perseorangan itu berasakan senarai itu sebagai bayangan awal pemain yang akan membawa cabaran negara, dengan empat pertandingan sepanjang bulan ini akan menjadi pengukur kemampuan mereka.

"Saya akan ajukan perkara ini kepada presiden BAM terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dilakukan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video