Zii Jia sudah minta nasihat Lee Chong Wei sebelum pilih tinggalkan BAM

Muzaffar Musa
Januari 19, 2022 20:58 MYT
Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, mendedahkan bahawa dia sudah meminta nasihat daripada idolanya, iaitu legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sebelum menghantar surat peletakan jawatannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Presiden BAM, Tan Sri Dr. Norza Zakaria, hari ini mengesahkan bahawa badan induk itu telah menerima surat peletakan Zii Jia pada 11 Januari lalu dan akan mengadakan satu sidang media khas pada Jumaat ini.
Zii Jia, ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, berkata ia bukanlah satu tindakan yang terburu-buru memandangkan dia telah mempertimbangkan perkara itu daripada segenap aspek, termasuk mendapatkan saranan daripada idolanya, Chong Wei.
"Saya pun sudah bertemu dengan Datuk (Lee Chong Wei) untuk mendapatkan nasihatnya tentang pelbagai perkara dan dia juga memberikan saya banyak saranan, tidak kira di dalam atau di luar gelanggang, dia banyak mengajar saya.
"Dan selama ini, dia memang banyak menolong saya, jadi bagi saya, dia sorang senior yang amat bagus buat saya, dia selalu berkongsi pengalamannya.
"Kerana dia seorang legenda, jadi pengalamannya amat-amat penting buat saya.
"Sebagai seorang pemain, apa yang saya mahukan hanyalah berlatih, bermain baik dan membawa nama dan memberikan keputusan yang baik buat Malaysia. Hanya itu yang saya mahukan.
"Saya rasa tidak kira sama ada pemain profesional atau pemain kebangsaan, kami semua berjuang demi nama Malaysia.
"Kami bermain dalam kejohanan yang sama. Ini realitinya," katanya.
Zii Jia berharap agar semua pihak dapat memahami bahawa keputusan yang diambilnya itu adalah demi kelangsungan kariernya.
Dia tidak lagi menghiraukan mengenai statusnya, malah berjanji akan terus mengharumkan nama negara.
"Apa yang saya dan BAM mahukan adalah keputusan terbaik buat saya.
"Bagi diri saya, saya juga mahu yang terbaik untuk karier saya.
"Untuk tahun ini, saya mahukan prestasi yang lebih stabil, saya mahu menduduki ranking lima teratas dunia.
"Itu sasaran utama saya dan saya rasa itulah yang paling penting buat saya.
"Saya tidak boleh menghalang orang bercakap tentang saya tetapi saya rasa di luar sana memang akan ada orang yang menyokong dan tidak menyokong saya.
"Harap-harap yang menyokong saya itu akan terus menyokong saya dan jika ada yang tidak mahu menyokong saya tidak mengapa, saya tidak akan memikirkannya, saya hanya akan menjadi diri saya," katanya lagi.

Lee Zii Jia tetap bawa nama MALAYSIA di pentas antarabangsa ?? ?? ?? pic.twitter.com/QcP4t58d3F

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) January 19, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#badminton #Lee Chong Wei #Persatuan Badminton Malaysia #Lee Zii Jia
;