BADMINTON
Zii Jia sedia kecewakan Chen Long sekali lagi
Menjuarai saingan Terbuka Taiwan mampu membantu tonggak perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, daripada segi keyakinan apabila diundi menentang pemain China, Chen Long, dalam pusingan pertama Terbuka China dari 17 hingga 22 September ini.
Fokus pemain berasal dari Kedah itu kini terarah kepada mempertahankan gelaran juara dalam Terbuka Taiwan yang berlangsung 3 hingga 8 September ini.
Bagaimanapun, dia sedar saingan getir menanti selepas berakhirnya Terbuka Taiwan, iaitu berdepan Chen Long dalam pusingan pertama Terbuka China.
Iklan
"Saya rasa kali ini tidak mudah kerana berdepan Chen Long di China. Kali ini, saya perlu bersiap sedia dengan aksi paling sukar tetapi tidak mahu begitu memikirkannya. Saya hanya mahu berikan saingan terbaik," katanya.
Walaupun pernah menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu, Zii Jia mengakui pertemuan kali kedua itu pasti lebih sukar.
Sebelum ini, dia melakar kejutan apabila menumpaskan Chen Long 21-16, 19-21, 22-20 dalam pusingan kedua Terbuka Indonesia.
"Memang saya lebih yakin ketika ini kerana prestasi agak bagus kebelakangan ini. Saya mahu meneruskan rentak cemerlang dan diharapkan mampu meraih keputusan yang baik."
Must-Watch Video