BADMINTON
'Tiada komen buat masa sekarang'
'Tunggu dan lihat' -- Itulah kata-kata ringkas daripada Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, apabila ditanya mengenai situasi terkini beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Keputusan untuk bakal terus bersama badan induk itu akan diketahui kelak sama ada kekal atau tidak.
Seperti yang dilaporkan Stadium Astro sebelum ini, gandingan keempat dunia itu akan membuat keputusan akhir usai pulang daripada Kejohanan Badminton Terbuka Thailand pada 18 Mei ini.
Iklan
Minggu lalu, BAM melalui timbalan presidennya, Datuk V. Subramaniam, memaklumkan isu tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis dan semua ahli bersetuju untuk mengekalkan tawaran asal yang pernah dipersetujui.
Difahamkan, draf kontrak telah dikemukakan kepada Pearly-Thinaah, namun mereka masih belum menandatanganinya dengan perbincangan masih berlangsung sejak Disember lalu.
"Saya tiada komen buat masa sekarang. Saya juga tidak mendengar apa-apa setakat ini.
"Mari kita lihat apa yang terjadi.
"Kami akan mengadakan perbincangan," katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 yang berlangsung di Subang Jaya.
Must-Watch Video