BADMINTON

TERKINI! Ini penjelasan Arif susulan didakwa seleweng wang di Kanada

Ammar Hakim 28/01/2025 | 11:25 MYT
Bekas perseorangan badminton lelaki negara, Arif Latif, tampil membersihkan namanya dan menjelaskan perkara sebenar yang terjadi setelah didakwa menyeleweng 70,000 Dollar Kanada (CAD) ketika berkhidmat sebagai jurulatih di Kanada.
Semalam tular mengenai dakwaan terhadap bekas pemain, Arif, yang telah berpindah karier ke bidang kejurulatihan dan didakwa melakukan penyelewengan wang yang mencecah nilai RM200,000 ketika berkhidmat Kanada.
Secara eksklusif menerusi Astro Arena dan Stadium Astro, kami memberikan penjelasan yang diberikan oleh bekas pemain negara, Arif.
"Ini semua salah faham. Terdapat beberapa jurulatih dari Kanada yang menggunakan nama saya dalam hal ini. Kemudian ada salah faham antara saya dengan kelab lama itu. Namun ia telah disalah tafsir oleh pihak di sana. Terdapat jurulatih yang irihati terhadap reputasi saya di sana.
"Ketika ini, saya dalam usaha untuk menangkis situasi ini dengan khidmat guaman di sana dan masih lagi dalam proses untuk mengumpul bukti.
"Ramai yang mahu menyertai sesi latihan saya dan pemain-pemain sudah mula nampak peningkatan itu, lantas ia telah mencetuskan perasaan kurang senang daripada barisan jurulatih di Kanada yang cuba untuk menikam saya dari belakang hingga mencetus perkara ini.
"Buat masa ini, saya tidak kisah apa yang mereka katakan. Keinginan saya adalah berusaha untuk meningkatkan mutu pemain di bawah kendalian saya. Kanada masih lagi baru dalam sukan badminton dan itu menjadi misi saya untuk melahirkan pemain yang mampu beraksi di peringkat antarabangsa.
"Hubungan saya bersama pemain baik. Beberapa pemain telah menghubungi saya bertanyakan bila saya akan kembali ke Kanada untuk meneruskan latihan? Jika tidak saya mahu ke Malaysia.
"Peristiwa ini saya cuba ambil sebagai satu cabaran. Saya ternyata kecewa dan cuba mengambil perkara ini sebagai iktibar.
"Saya dalam usaha dengan pihak peguam untuk membersihkan nama saya. Saya mengetahui situasi ini tular di sana menerusi pemain saya. Jadi saya menyedari perkara yang berlaku ketika ini."
Ketika ini, masih tiada kenyataan rasmi daripada pihak kelab badminton yang terbabit untuk memperjelaskan situasi yang berlaku terhadap Arif.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#badminton #Malaysia #Kanada #Arif Latif
;