Skip to main content

Badminton

TERKINI: Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nor Farah Ain Abdullah ditabal selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

aaron-chia-soh-wooi-yik.jpg
Jaguh beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan atlet lawn bowls, Nor Farah Ain Abdullah ditabal selaku Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 yang berlangsung di Subang Jaya.

Gandingan beregu negara itu membuktikan gelaran olahragawan berhak menjadi milik mereka selepas melakar kejayaan cemerlang pada musim 2024 dengan meraiih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik menewaskan 4 calon lain iaitu Wong Weng Soon (wushu), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Lee Zii Jia (badminton) dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Pasangan beregu lelaki itu sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2022.

Nor Farah Ain Abdullah pula mengenepikan Sin Li Jane (tenpin boling), Nurul Izzah Izzati (berbasikal trek), Nor Farah Mazlan (pencak silat) dan Tan Cheong Min (wushu) untuk mengungguli Olahragawati Kebangsaan.

Farah Ain cemerlang merangkul pingat emas dalam acara individu wanita di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan menyampaikan kedua-dua anugerah utama tersebut.

Turut hadir ke majlis gilang gemilang itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh.

Selaku pemenang utama ASN 2024, Aaron / Wooi Yik dan Farah Ain masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM20,000.

Bonnie Bunyau Gustin pula dinobatkan selaku Olahragawan Paralimpik Kebangsaan selepas melakar kejayaan membanggakan pada temasya Sukan Parlimpik Paris 2024 dengan mempertahankan pingat emas serta memecah rekod dunia kategori 72 kilogram. Bonnie turut menerima trofi dan wang tunai RM20,000. Ini merupakan gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan kedua buat atlet kelahiran Sarawak itu selepas memenanginya pada edisi 2023.

Gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula dimenangi atlet para lawn bowls, Hasmunirah Maliki yang memenangi gelaran juara perseorangan wanita di Kejohanan Boling Padang Dunia 2024.

Pasukan sepak takraw pula di anugerahkan Pasukan Lelaki Kebangsaan manakala pasukan tenpin boling yang dibarisi Sin Li Jane, Natasha Mohamed Roslan, Gillian Lim, Nora Liyana Natasia Norkamal, Faten Najihah Ahmad Faik dan Nur Syazwani Sahar meraih gelaran Pasukan Wanita Kebangsaan.

Anugerah Jurulatih Lelaki Kebangsaan pula menjadi milik jurulatih para powerlifting, Jamil Adam, dan Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan milik Siti Rahmah Mohamed Nasir dari sukan pencak silat. 

Sunny Si Poh Heng dari Persatuan Tenpin boling Sarawak dan bekas presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohammad Norza Zakaria pula diumumkan penerima Anugerah Kepimpinan Sukan manakala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh
Sukan.

Johor Motorsport Racing Team (JMR), Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Selangor Red Giant (E-Sports MLBB) dan bekas pengulas sukan tersohor tanah air, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dipilih menerima Anugerah Khas.

Advertisement

Must Watch Video