Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, bangkit dariapda ketinggalan satu set untuk mengatasi jaguh Taiwan, Chou Tien Chen, dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok sebentar tadi.
Turun sebagai pilihan keenam, Zii Jia, bagaimanapun, bergelut untuk mengikuti rentak lawan pilihan kelapan itu dalam set pertama, di mana dia pada satu ketika ketinggalan 10-15 sebelum tewas 18-21.
Namun, dia mula memperkemaskan aksinya dan bermain dengan lebih tenang dalam set kedua, di mana selepas mengikat kedudukan 2-2, dia tidak pernah ketinggalan sebelum mencatatkan kemenangan 21-12 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Set ketiga pada awalnya menyaksikan persaingan sengit kedua-dua pemain tetapi menuju ke pertengahan aksi, Zii Jia mula mempamerkan dominasinya untuk mencatatkan kemenangan 21-13 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam enam minit.
Dia seterusnya akan bertemu pemain bukan pilihan dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long, bagi perebutan gelaran esok.
Muzaffar Musa
Sat May 18 2024