Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, memecah dominasi wakil tuan rumah apabila meraih gelaran Kejohanan Terbuka Taiwan, sebentar tadi.
Selepas tiga peringkat mencipta kemenangan straight set, kali ini mereka yang turun sebagai 'underdog' di ranking 36 dunia berhempas pulas untuk menundukkan juara Sukan Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Tekad Wei Chong-Kai Wun terserlah apabila mendapat jalan mudah pada awal set pertama lagi.
Begitupun, selepas mengutip enam mata berturut-turut mereka sedikit hilang fokus hingga membenarkan lawan merapatkan jurang 19-17, mujur masih mampu mengorak langkah kanan dengan kemenangan 21-18 dalam pertemuan sulung mereka itu.
Apa pun, semangat juang Wei Chong-Kai Wun -- yang menamatkan kemarau wakil Malaysia ke perlawanan akhir dalam lima Jelajah Dunia terakhir -- bagaikan sudah luntur apabila menyerah mudah 11-21 dalam set kedua.
Namun, kegusaran itu pantas reda apabila mereka kembali menyusun rentak diselangi pertahanan mantap hingga membuatkan pencabar nombor empat dunia itu kebuntuan untuk mematikan bulu tangkis.
Kedua-dua beregu saling berbalas mata yang menyaksikan Wei Chong-Kai Wun mendahului pertarungan tetapi permainan tonggak negara mula hilang punca menuju pertengahan pertarungan.
Sikap tidak berputus asa mereka sekalipun tercicir empat mata akhirnya membuahkan hasil apabila mereka bangkit mengikat kedudukan 16-16.
Debaran itu berlanjutan ketika masing-masing di mata ke-18, tetapi tindakan Lee Yang-Chi Lin mengembalikan dua servis berturut-turut ke jaring akhirnya memakan diri untuk memberikan kemenangan mutlak 21-18 kepada juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi tersebut pada Januari lalu itu.
Terdahulu, Taiwan menguasai acara perseorangan lelaki dan wanita menerusi Chou Tien Chen yang menewaskan Kodak Naraoka sementara Tai Tzu Ying melakar kemenangan ke atas Saena Kawakami.
Shaiful Shamsudin
Sun Jul 24 2022