Skip to main content

Badminton

Terbuka Perancis: Aaron–Wooi Yik wakil tunggal negara ke separuh akhir

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

woii-yik.jpg

Beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, muncul satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Perancis Super 750 selepas enam lagi pasangan negara terkandas suku akhir malam tadi.

Turun selaku pilihan kedua kejohanan, gandingan nombor dua dunia itu menampilkan aksi mantap apabila menewaskan beregu Indonesia, Sabar Karyawan Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani, dalam pertarungan sengit tiga set di Glaz Arena, Cesson-Sévigné.

Advertisement

Aaron–Wooi Yik yang terpaksa berhempas pulas selama satu jam empat minit, akhirnya memastikan kemenangan 21–19, 16–21, 21–19 sekali gus menyamakan rekod pertemuan 1–1 dengan pasangan ranking ke-11 dunia itu.

Kejayaan itu mengesahkan kemaraan mereka ke separuh akhir menentang satu lagi wakil Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri, yang sebelum itu menyingkirkan gandingan muda negara, Arif Junaidi–Yap Roy King, 21–14, 24–22 dalam masa 47 minit.

Dalam satu lagi aksi beregu lelaki, pasangan Man Wei Chong–Tee Kai Wun pula terpaksa akur apabila tumpas kepada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won - ho–Seo Seung-jae, 18–21, 21–14, 21–10 selepas bertarung selama 54 minit.

Sementara itu, beregu Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani turut gagal melangkah apabila tewas tipis kepada gandingan Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen, 14–21, 21–17, 23–25 dalam pertembungan yang berlangsung selama sejam sembilan minit.

Sementara bagi acara beregu campuran, langkah dua wakil negara turut terhenti dengan Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie tewas kepada pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping, 18–21, 16–21.

Juara dunia Chen Tang Jie–Toh Ee Wei pula tunduk 9–21, 18–21 kepada pasangan pilihan keenam Hong Kong, Tang Chun Man–Tse Ying Suet.

Cabaran juara Terbuka Artik Super 500, Pearly Tan–M Thinaah pula tidak bernasib baik apabila beregu wanita negara berkenaan tewas 16–21, 16–21 kepada lawan dari China, Chen Qing Chen–Jia Yi Fan. - Sinar Harian

Protein Bar

Protein On-The-Go

Nikmati cara paling mudah dapatkan protein harian — cepat, sedap & mengenyangkan.


Cuba Sekarang

Topik Berkaitan

Must Watch Video