Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi pamer aksi bertenaga singkir Lee Yang-Chi Lin
Shaiful Shamsudin
Jun 30, 2022 15:47 MYT
Jun 30, 2022 15:47 MYT
Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, menyemarakkan semula kesuraman awal hari ketiga Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia apabila mengatasi pilihan keempat, Lee Yang-Wang Chi Lin, sebentar tadi.
Sorakan padu di Axiata Arena, Bukit Jalil, jelas membangkitkan semangat juang gandingan negara itu ketika berdepan dengan seteru dari Taiwan berkenaan yang memegang rekod 3-1 dalam tiga pertemuan mereka tahun lalu selain ketika menyingkirkan mereka dalam Terbuka All England 2020.
Yew Sin-Ee Yi yang mula mengorak langkah set pertama sebaik mata kelima dengan mempamerkan pukulan deras dan secara tidak langsung membuatkan permainan lawan itu goyah sebelum menang 21-17.
Kegusaran awal tentang kebangkitan gandingan di ranking keempat dunia mula terbit dalam set kedua apabila kedua-dua pemain negara saling membuat kesilapan mudah.
Begitupun, rentak longgar itu tidak dibiarkan lama yang menyaksikan mereka mengutip enam mata berturut-turut untuk memimpin pertarungan 11-8.
Pukulan deras ke badan lawan turut menyumbangkan banyak mata selain pertahanan mantap yang disajikan di
Gelanggang 1 tadi.
Malah, Yew Sin yang mula gopoh di hujung set kedua kembali fokus dengan corak serangannya yang makin meningkat sebelum rejaman Ee Yi memuktamadkan kemaraan mereka 21-18.
Selepas berjuang selama 41 minit, mereka dijangka bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto esok.
Terdahulu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, gagal menepati ramalan apabila tunduk 19-21, 14-21 kepada Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China.