Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, melakar kejutan apabila menewaskan pasangan nombor tiga dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2018.
Ong-Teo memulakan aksi cemerlang dengan memenangi set pertama 21-17, namun kalah set kedua 18-21 sebelum bangkit mengesahkan kemenangan 21-13 dalam set penentuan yang berlangsung di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.
Ketika ditemui pemberita, Teo berkata dia tidak menyangka gandingannya bersama Ong berhasil menundukkan pasangan terkemuka dunia itu walaupun turun selaku pemain bukan pilihan.
“Saya tidak menyangka dapat mengalahkan mereka. Kemenangan ini menyuntik semangat supaya lebih yakin dan percaya kepada kemampuan gandingan kami ini. Saya berharap semangat ini dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya.
“Bermain di laman sendiri dan dengan sokongan penonton menambah keyakinan kami untuk menang dalam perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan.
Turut mara ke pusingan kedua adalah beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang menewaskan Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash dari Thailand, 21-15, 21-10 dalam masa 30 minit.
Namun, bagi V Shem, biarpun menang dia mengakui kerap melakukan kesilapan sehingga memberi mata mudah kepada pihak lawan.
“Kami bermain dengan baik hari ini tetapi saya banyak melakukan kesilapan ketika servis. Jadi dalam perlawanan selepas ini, saya perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Turut mengikut jejak langkah dua beregu lelaki negara itu adalah Aaron Chia-Wooi Yik Soh yang mengalahkan beregu Amerika Syarikat, Philip Chew-Ryan Chew 21-16, 21-15.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jun 26 2018