Terbuka Malaysia: Sorakan penyokong cetus kebangkitan Yew Sin-Ee Yi
Azizul Fahmi Ahmad Zabidi
Januari 12, 2023 16:55 MYT
Januari 12, 2023 16:55 MYT
Beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terpaksa 'bermandi peluh' sebelum mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023.
Dalam aksi pusingan kedua di Axiata Arena sebentar tadi, Ee Yi-Yew Sin meraih kemenangan 17-21, 21-13, 21-14 ke atas gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han.
Ee Yi berkata, kemenangan itu banyak dipacu daripada sokongan penyokong sendiri selepas mereka tumbang dalam pertarungan set pertama.
“Bermain di gelanggang sendiri benar-benar membangkitkan semangat kami. Kehadiran penyokong membuatkan kami lebih bersemangat dan dapat bermain baik.
“Selepas tewas pada set pertama, kami cuba untuk menyusun semula rentak permainan. Saya gembira akhirnya ia menjadi,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi suku akhir pada Jumaat, Ee Yi-Yew Sin bakal berdepan tugas berat apabila dijadualkan menentang beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Yew Sin berkata, dia dan Ee Yi sudah bersedia untuk menghadapi satu lagi ujian getir berdepan Fajar-Rian yang menewaskan menewaskan mereka dalam aksi pusingan suku akhir Terbuka Malayasia tahun lalu.
“Semuanya akan menjadi sukar terutamanya apabila masuk suku akhir. Kami tidak mahu fikir mengenai separuh akhir kerana fokus kami adalah aksi suku akhir dahulu,” ujarnya.