Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia BWF: Nova Widianto tumpu kutipan mata beregu campuran negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nova-widianto.jpg
Keterujaan peminat sukan badminton tanah air makin membara dengan berbaki beberapa hari lagi sebelum kejohanan pembukaan kalendar BWF 2023 menerusi Terbuka Malaysia.

Namun, ia bukan satu cabaran yang mudah malah bakal menjadi ujian pertama buat jurulatih baru beregu campuran negara, Nova Widianto, bermula Selasa depan. 

Tumpuan utama pasti diberikan kepada gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menawan Kejohanan Cabaran Antarabangsa Bangladesh selain juara Cabaran Antarabangsa Malaysia, bulan lalu, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing.

Tatkala Pang Ron-Mei Xing perlu melepasi Kyohei Yamashita-Naru Shinoya dalam pusingan 32 di Stadium Axiata, Bukit Jalil, rakan senegara daripada kem profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, pula menanti Tang Jie-Ee Wei.

Namun, Nova yakin anak buahnya itu mampu melakar kejutan.

"Kami beri fokus mencari mata sampai Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Dubai, April depan dan mudah-mudahan sesudah mengharungi enam kejohanan, mereka mula mendapat rentak bagi bekalan ke jelajah di Eropah. 

"Fokus kami adalah kutipan mata, mungkin menerusi kejohanan bertaraf 300.

"Memandangkan baru seminggu sesi latihan saya di sini, saya menuntut pemain agar mencurahkan segala kudrat. 

"Dan menerusi latihan dan semangat yang ditunjukkan, saya lihat Tang Jie-Ee Wei mampu mengatasi Kin Meng-Pei Jing ," katanya dalam sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini. 




Dalam masa sama, Tang Jie-Ee Wei sedia untuk membalas kepercayaan jurulatih dari Indonesia itu biarpun perlu berdepan beregu di ranking kelima dunia tersebut.

"Untuk menyasarkan tempat dalam Sukan Olimpik 2024, kami perlu yakin dalam memberi saingan. 


"Kami perlu berikan yang terbaik, tidak boleh gentar jumpa mana-mana lawan.

"Kalau jumpa beregu di ranking enam terbaik mahupun pilihan kedua kejohanan sekalipun, kami perlu tunjukkan mentaliti kemenangan," kata Tang Jie. 

Selepas dua kejohanan digandingkan, Ee Wei pula berasakan mereka perlu mencari gaya permainan tersendiri dalam memperkemaskan permainan mereka. 

"Kami perlu mencari kekuatan tersendiri untuk memenangi kejuaraan. 

"Itu perlu dibincangkan dengan jurulatih."

Advertisement

Must Watch Video