Terbuka Malaysia 2025: Tiket akan dijual bermula esok!
Saufi Tahir
November 27, 2024 16:19 MYT
November 27, 2024 16:19 MYT
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan tiket Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 bertaraf Super 1000 itu sudah boleh didapatkan dengan secara atas talian bermula 9 pagi esok.
Harga tiket masih kekal seperti edisi lalu dengan harga tiket bermula dari RM282 sehingga RM2000 mengikut kategori.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh Chee Keong, mengalakkan pembelian tiket dilakukan lebih awal bagi mengelak kehabisan tiket pada hari kejohanan dengan promosi 'Early Bird' akan bermula esok sehingga 21 Disember ini.
"Kami mengalakkan peminat badminton yang ingin menyaksikan aksi secara langsung di stadium terus ke laman web tiket dan dapatkan tiket secepat mungkin. Dalam edisi sebelum ini, kategori popular terjual cepat sejurus selepas jualan bermula." katanya.
Saingan itu menjanjikan cabaran bertaraf dunia susulan penyertaan pemain handalan dan terkemuka yang mengambil bahagian dengan menyasarkan langkah kanan dalam permulaan kempen 2025.