Terbuka Korea Selatan: Pearly-Thinaah bangkit ke suku akhir
Muzaffar Musa
Ogos 29, 2024 16:26 MYT
Ogos 29, 2024 16:26 MYT
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menumbangkan gandingan bukan pilihan dari Taiwan, Nicole Chan-Lin Chi Chun, dalam perlawanan pusingan kedua Terbuka Korea Selatan di Seoul sebentar tadi.
Turun selaku pilihan keempat, Pearly dan Thinaah pada awalnya mempamerkan dominasi dalam set pertama untuk mendahului 20-16 tetapi mereka kemudian membenarkan lawan bangkit memperoleh lima mata berturut-turut untuk ketinggalan 20-21 sebelum tewas 21-23.
Bagaimanapun, dominasi sebenar mula dipamerkan mereka dalam set kedua, di mana pasangan negara itu tidak pernah ketinggalan sejak awal saingan untuk mencatatkan kemenangan mudah 21-12.
Skrip hampir sama berulang dalam set penentuan untuk Pearly dan Thinaah sekali lagi mencatatkan kemenangan 21-12 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara pilihan ketujuh dari China, Keng Shu liang-Zhang Shu Xian, dan satu lagi gandingan Taiwan, Teng Chun Hsun-Yang Chu Yun, bagi penentuan ke separuh akhir esok.