Skip to main content

Badminton

Terbuka Korea Selatan: Lee Zii Jia janji akan bangkit

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lee-zii-jia.jpg
Perseorangan badminton lelaki utama negara, Lee Zii Jia, bagaikan hilang kata-kata setelah tersingkir awal dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan di Yeosu semalam.

Pemain nombor 17 dunia itu ditunjukkan jalan keluar setelah tewas kepada Ng Ka Long dari Hong Kong dalam aksi pusingan pertama Stadium Jinnam.

“Saya tidak ada apa-apa untuk diperkatakan. Saya cuba yang terbaik (tetapi tidak menjadi),” katanya.

Kekalahan itu merupakan kali keempat berturut-turut Zii Jia kepada pemain di ranking ke-14 dunia berkenaan, yang dibimbing bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Wong Choong Hann.


Bagaimanapun Zii Jia, yang dilatih Wong Tat Meng sejak awal bulan ini, enggan patah semangat sebaliknya tekad bangkit dalam kejohanan akan datang.

“Saya akan kembali,” tambahnya.

Dalam aksi itu, Ka Long, yang merupakan bekas anak didik Tat Meng, mengungguli set pertama 21-15, namun Zii Jia enggan mengalah bangkit menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-18 dalam set kedua.

Dalam set penentuan, mereka saling bertukar mata tetapi Ka Long lebih unggul mencatatkan kemenangan 21-17 dalam tempoh 56 minit permainan.

Ia juga merupakan kekalahan pusingan awal kelima berturut-turut pemain berusia 25 tahun itu.

Nasib tidak menyebelahi Zii Jia apabila tewas dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.

Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu perlu bangkit dalam Terbuka Jepun minggu depan.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video