Skip to main content

Badminton

Terbuka Jepun: Selepas singkir Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee yi dipaksa kerah keringat oleh gandingan AS

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

yew-sin-ee-yi.jpg
Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, dipaksa mengerahkan keringat sebelum menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith, untuk ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo Metropolitan Gymnasium sebentar tadi. 

Yew Sin dan Ee Yi mencipta kejutan apabila menumbangkan Juara Asia, Aaron Chia- Soh Wooi Yik, dalam aksi pusingan pertama semalam.

Bagaimanapun, mereka berdepan cabaran luar biasa dalam pertemuan kali ini.

Gandingan negara itu menguasai permainan sejak dari awal tetapi menuju ke penghujung set pertama, mereka membenarkan lawan menyamakan kedudukan 16-16 sebelum tewas 19-21.

Mereka sekali lagi menguasai permainan dalam set kedua tetapi kali ini, Yew Sin dan Ee Yi tidak membenarkan lawan untuk merancang sebarang kebangkitan untuk meraih kemenangan mudah 21-14.

Aksi kian sengit dalam set penentuan dan walaupun beregu profesional negara itu sentiasa berada di depan, mereka tidak dapat menjarakan mata sebelum mencatatkan kemenangan tipis 21-19 selepas secara keseluruhan bertarung selama 55 minit.

Menanti mereka dalam penentuan ke separuh akhir esok ialah beregu pilihan kelima dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

 

Advertisement

Must Watch Video