Terbuka Jepun: Pearly-Thinaah tumbangkan pilihan ketiga, Sze Fei-Nur Izzuddin terkandas
Muzaffar Musa
Ogos 30, 2022 13:16 MYT
Ogos 30, 2022 13:16 MYT
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun dengan mengejutkan gandingan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan, di Osaka sebentar tadi.
Wakil negara itu mendahului 9-6 dalam set pertama tetapi membenarkan lawan untuk mengikat kedudukan sebanyak dua kali di kedudukan 9-9 dan 1-1 sebelum kehilangan momentum dan tewas 16-21 dalam set berkenaan.
Bagaimanapun, aksi hampir sempurna mula dipamerkan mereka dalam set kedua, di mana Pearly dan Thinaah tidak pernah ketinggalan sejak awal saingan sebelum menamatkannya dengan kemenangan 21-14.
Set penantuan berlangsung lebih sengit dan biarpun beregu negara itu mendahului sejak dari awal, So Hee dan Seung Chan berhasil mengikat kedudukan di angka 16-16 tetapi Pearly dan Thinaah jelas beregu yang lebih baik hari ini untuk menamatkan pertarungan selama lebih sejam itu dengan kemenangan 21-18 dalam set terakhir.
Dalam pada itu, nasib berbeza dilalui beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, yang terpaksa akur disingkirkan gandingan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, seawal pusingan pertama.
Sze Fei dan Nur Izzuddin tewas 17-21, 21-18, 19-21 dalam masa sejam.