Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, melepasi ranjau pertama dalam Kejohanan Badminton Terbuka Jepun apabila meraih kemenangan dramatik ke atas gandingan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, di Gimnasium Yoyogi, Tokyo sebentar tadi.
Selepas tersingkir dalam pusingan pertama Terbuka Korea Selatan minggu lalu, pasangan negara berkenaan perlu memanfaatkan kejohanan bertaraf Super 750 kali ini sebagai medan kebangkitan dan segalanya kelihatan memihak mereka pada awal permainan.
Pearly dan Thinaah mempamerkan dominasi penuh dalam set pertama, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak dari awal sebelum mencatatkan kemenangan 21-11.
Bagaimanapun, keadaan itu bertukar 360 darjah dalam set berikutnya, di mana giliran mereka pula ketinggalan jauh sejak dari awal sebelum akur dengan kekalahan 9-21, sekali gus terpaksa beraksi dalam set penentuan.
Aksi dalam set ketiga menyaksikan Pearly dan Thinaah sekali lagi ketinggalan jauh hingga ada ketika ketinggalan lima mata di kedudukan 4-9 tetapi mula meningkatkan asakan pada penghujung aksi dan biarpun ketinggalan di kedudukan genting 16-19, mereka kemudian meraih lima mata berturut-turut, sekali gus menamatkan aksi selama hampir sejam itu dengan kemenangan 21-19.
Beregu negara itu seterusnya akan menantikan pemenang di antara pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan, dan wakil Denmark, Catherine Choi-Josephine Wu, bagi penentuan ke suku akhir esok.
Muzaffar Musa
Tue Jul 25 2023