Terbuka Jepun: Man-Tee ketepikan cabaran beregu senior negara untuk ke suku akhir

Zaki Zainal
Ogos 22, 2024 20:15 MYT
Aksi terakhir wakil negara di pusingan kedua hari ini adalah antara pasangan beregu senior dan beregu junior negara melibatkan pertemuan antara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan juga Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berlangsung di Yokohama Kanagawa sebentar tadi.
Pertembungan di set pertama tampak sengit buat kedua-dua pasangan sehinggakan masing-masing terikat 15-15 pada satu ketika namun nafsu membara buat Man-Tee runtuhkan ego Yew Sin-Ee Yi dengan keputusan 21-16.
Set kedua, Man-Tee tampak tidak menoleh ke belakang lagi apabila berjaya mendahului pada awal cabaran pada kedudukan 4-1 walaupun selepas itu ada adegan kejar mengejar mata berlaku untuk mereka kembali terikat kepada 16-16.
Namun asbab mahu menang dan dalam misi melangkah jauh dalam kejohanan Man-Tee terpaksa membuatkan pasangan senior negara gigit jari dengan keputusan berakhir dengan keputusan 21-19.
Selepas ini, pasangan negara akan bertemu dengan pilihan ketiga kejohanan dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di saingan suku akhir.
Sementara itu, pasangan beregu campuran senior negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut cemerlang ikut langkah kanan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ke saingan suku akhir apabila berjaya menewaskan pasangan dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-12,21-16.
#badminton #Man-Tee #Terbuka Jepun, #Yew Sin-Ee Yi,