Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tekad melupakan kesedihan selepas tidak dapat melangkah jauh di saingan Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini.
Menurut Tang Jie, dia dan pasangannya Ee Wei mahu kembali bangkit dan menjadikan Terbuka Jepun BWF pada Selasa ini sebagai medan awal memasang impian ke edisi seterusnya, Los Angeles 2028.
Malah, mereka juga mahu memastikan kedudukan ranking mereka yang kini berada di kedudukan kesembilan dunia dapat terus meningkat menjelang hujung tahun ini.
“Sudah tentu kami sedih kerana tidak dapat melangkah jauh ke separuh akhir temasya berprestij itu namun, kami masih ada peluang lain untuk layak pada Sukan Olimpik akan datang.
“Tetapi sekarang, setiap kejohanan amat penting, memang sukar untuk mengalihkan fokus ke kejohanan lain, tetapi kami perlu lupakan kekecewaan tersebut.
“Mesti ada kemahuan untuk bermain di setiap kejohanan dan kalau tidak, kami tidak akan berada di sini.
"Kalau boleh, kami tak mahu kekal (kesembilan dunia), kami nak meningkat lebih baik lagi,” katanya.
Tang Jie-Ee Wei yang tampil buat kali pertama di Olimpik Paris mengakhiri saingan pertandingan sukan terbesar dunia itu di peringat suku akhir.
Mereka bermula dengan baik untuk menjadi juara Kumpulan D sebelum tewas kepada pasangan di kedudukan kelapan dunia dari Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun di suku akhir.
Di Terbuka Jepun, mereka dijadualkan bertemu pasangan senegara, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing pada pusingan pertama.
Kredit -- Sinar Harian