Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gagal memanfaatkan kemenangan dalam set pertama sebelum tewas kepada gandingan pilihan kelima tuan rumah, Takuro Hoki-Hugo Kobayashi, dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Gimnasium Yoyogi, Tokyo sebentar tadi.
Turun selaku pilihan keempat, beregu juara dunia pertama negara itu bermula dengan penuh meyakinkan apabila menamatkan dominasi dalam set pembukaan dengan kemenangan 21-10.
Bagaimanapun, mereka yang mendominasi hampir keseluruhan pertengahan set kedua, membenarkan lawan bangkit mengikat kedudukan 15-15 dan kemudian melepaskan enam mata berturut-turut untuk akur tewas 15-21.
Padah menimpa Aaron dan Wooi Yik dalam set ketiga apabila mereka tidak pernah dapat mendahului sejak dari awal set penentuan itu untuk membenarkan lawan memutlakkan kemenangan 21-16 selepas bertarung selama 65 minit.
Tumbangnya Aaron dan Wooi Yik menyaksikan tiada lagi wakil negara untuk meneruskan perjuangan dalam separuh akhir kejohanan bertaraf Super 750 itu esok.
Muzaffar Musa
Fri Jul 28 2023