BADMINTON

Terbuka Jepun: Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara, perseorangan lelaki pula 'tutup kedai'

Sinar Harian 27/07/2023 | 06:47 MYT
Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meneruskan rentak apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2023, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Gimnasium Yoyogi Tokyo itu, Aaron-Wooi Yik yang berstatus juara dunia tenang mengetepikan cabaran beregu Indonesia, Muhammad Shobul Fikri-Bagas Maulana, 21-12, 21-10 dalam masa 24 minit.
Kemenangan meyakinkan beregu nombor empat dunia ke atas gandingan ke-14 ranking dunia itu membolehkan mereka melebarkan rekod tanpa kalah dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Dua kejohanan sebelum ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik pernah melepasi ujian mereka tersebut dalam Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura bulan lalu.
Dalam pada itu, perjalanan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani, disekat beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, apabila tewas 14-21, 17-21 dalam masa 35 minit.
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah turut mengikuti jejak apabila tewas 15-21, 13-21 kepada pilihan nombor satu kejuaraan dari China, Jia Yi Fan-Chen Qing Chen, dalam masa 43 minit
Sementara itu, beregu nombor 18 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, mengejutkan pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 15-21, 21-18 dan 21-16 dalam masa 64 minit.
Dalam pada itu, cabaran Ng Tze Yong berstatus 21 dunia yang menjadi harapan tunggal negara dalam acara perseorangan turut terhenti apabila tewas kepada bintang 33 dunia dari Jepun Koki Watanabe 21-17, 21-14 dalam masa 46 minit.
Kredit: Sinar Harian
#badminton #Terbuka Jepun #Aaron Chia-Soh Wooi Yik