Bekas juara Terbuka India 2010, Zakry Latif, berbangga dengan kejayaan beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan kemarau negara menggenggam kejuaraan kejohanan itu, yang kali terakhir dilakukannya bersama Faruzizuan Tazari pada 15 tahun lalu.

Zakry berpandangan kunci kejayaan itu adalah kemampuan Sze Fei dan Nur Izzuddin mengekang segala asakan lawan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, dalam aksi final di New Delhi.

Tambahnya, gandingan negara itu mampu untuk berada di tangga teratas dunia dalam masa terdekat seandainya mereka dapat mengekalkan fokus di atas gelanggang.

"Pertama sekali, saya mengucapkan Alhamdulillah kerana sudah lama tunggu dan akhirnya malam tadi (semalam), saya dapat lihat satu perlawanan yang agak sengit," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.

"Dalam masa sama, mereka menang dan dapat pecahkan rekod saya.

"Alhamdulillah, selepas 15 tahun, ada yang dapat melakukannya dan mereka ialah Sze Fei dan Nur Izzuddin.

"Kalau nak ikutkan, beregu Korea Selatan itu 'all-rounder' kerana kedua-dua mereka turut bermain dalam beregu campuran.

"Jadi, mereka amat bagus daripada segi kawalan permainan tetapi Sze Fei dan Nur Izzuddin, daripada segi kombinasi, konsisten dan tekanan yang mereka berikan, membuatkan lawan itu tidak dapat bertahan, jadi itu perkara yang bagus," katanya.