Pasangan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, menamatkan cabaran Terbuka Hong Kong selaku naib juara apabila tewas 2-1 kepada wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti sebentar tadi.
Pasangan di ranking ke-10 dunia itu menewaskan beregu dari Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dalam aksi straight set 21-13, 21-18 di Hong Kong Coliseum bagi menempah tempat ke final.
Dalam usaha mengejar gelaran pertama bagi musim 2023, Pearly-Thinaah mempamerkan permulaan yang cemerlang, mengutip mata demi mata sebelum menamatkan set pertama 21-14.
Set kedua menyaksikan kedua-dua regu meningkatkan rentak permainan, saling bertukar dalam kutipan mata, namun Apriyani-Siti Fadia berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan menerusi kemenangan 24-22.
Pasangan negara bagaimanapun gagal mengulangi aksi cemerlang dalam dua set terdahulu, terpaksa akur dengan kekalahan 21-9 sekaligus menamatkan cabaran selaku naib juara.
Ammar Hakim
Sun Sep 17 2023
