Gandingan beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, akhirnya berjaya mendapatkan gelaran pertama tahun ini selepas membenam pilihan kedua kejohanan, Liu Shengshu-Tan Ning di Kowloon, sebentar tadi.

Bermula dengan sangat baik, pasangan negara berjaya mematahkan segala asakan daripada wakil China untuk mendahului set pertama 21-14 dalam tempoh 16 minit di Hong Kong Coliseum itu.


Pertemuan kali ketujuh tersebut menyaksikan Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan dominasi berganda apabila terus menjarakkan jurang mata 17-8 dalam set kedua untuk menewaskan beregu di ranking ketiga dunia itu.

Mata kemenangan 21-13 akhirnya dicapai susulan kesilapan servis yang dilakukan oleh Liu Shengshu memberikan kemenangan buat wakil tunggal negara menggondol kejuaraan kali ini.

Sebagai rekod, ini merupakan penampilan kali kedua berturut-turut mereka dalam final Terbuka Hong Kong selepas tahun lalu dan mencatatkan kejuaraan pertama tahun ini.