Juara Terbuka Jepun 2024, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, terkandas di pusingan ke-16 selepas ditewaskan oleh gandingan ranking ke-103 dunia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, dalam Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum, sebentar tadi.

Pertemuan kali pertama diantara kedua-dua pasangan itu menyaksikan wakil Indonesia melakar kebangkitan untuk meneruskan ke peringkat suku akhir pada esok.


Pilihan kelima kejohanan itu terlebih dahulu berada di hadapan 21-16 sebelum Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin mengheret permainan ke set penentuan selepas berjaya memenangi set kedua 21-19.

Momentum tersebut tampak semakin meningkat apabila beregu Indonesia itu tidak melepaskan peluang untuk mengikat kedudukan 9-9 sebelum memenangi aksi itu 21-13 dalam tempoh 60 minit.