BADMINTON
Terbuka Hong Kong BWF: Tze Yong, Zii Jia tempuh nasib berbeza
Dua perseorangan lelaki utama negara menempuh nasib berbeza dalam aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Kowloon sebentar tadi.
Perseorangan nombor dua negara, Ng Tze Yong, terus mencipta sensasi apabila layak ke suku akhir dengan menumbangkan pemain handalan Jepun, Kanta Tsuneyama, secara set langsung.
Selepas mengikat lawan sepanjang tiga mata pertama, Tze Yong mula mengorak langkah melebarkan penguasaannya dengan mendagului 14-5 sebelum memenangi set pertama 21-12.
Momentum itu dikekalkan Tze Yong dalam set kedua, di mana dia tidak pernah ketinggalan sebelum meraih lapan mata berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan 21-11 dalam masa hanya 41 minit.
Tze Yong seterusnya akan bertemu perseorangan Denmark, Magnus Johannesen, bagi penentuan ke separuh akhir esok.
Dalam pada itu, perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, gagal menempatkan diri dalam suku akhir selepas tewas kepada wakil Taiwan, Lee Chia Hao, dalam aksi tiga set.
Zii Jia pada awalnya menerbitkan harapan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi set pertama 21-19.
Bagaimanapun, dia gagal untuk memintas lawan sepanjang set kedua untuk akur tewas 14-21.
Zii Jia sepatutnya memenangi set penentuan apabila mendahului 11-7 tetapi dia seakan-akan hilang momentum menuju ke penghujung aksi dan akhirnya terpaksa menamatkan pertarungans selama 66 minit itu dengan kekalahan 20-22.