Terbuka China: Soon Huat-Shevon muncul naib juara

Ammar Hakim
September 22, 2024 15:14 MYT
Beregu profesional campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, menamatkan cabaran selaku naib juara kejohanan berstatus Super 1000 Terbuka China selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping sebentar tadi.
Pasangan negara itu melangkah ke final menerusi kemenangan 21-18, 21-18 ke atas satu lagi wakil China, Cheng Xing-Zhang Chi.
Berdepan lawan menghuni tangga ketiga dunia, Soon Huat-Shevon, menggunakan kelebihan melakukan permainan di jaring sebelum melakukan serangan meraih mata demi mata.
Berjaya menang 21-16 dalam set pertama, sekaligus memberikan momentum terbaik buat Soon Huat-Shevon untuk membuka set kedua mendahului 5-0 pada satu ketika.
Bagaimanapun, wakil tuan rumah kembali mempamerkan kebangkitan sehingga berjaya mengikat kedudukan 12-12 sebelum memastikan permainan diheret ke set penentuan menerusi kemenangan 21-14.
Permulaan set ketiga agak sengit apabila kedua-dua beregu saling mengutip mata demi mata bagaimanapun wakil China itu menemui jalan untuk menoktahkan kemenangan 21-17 sekaligus muncul juara.
#badminton #China #Goh Soon Huat #Terbuka #Shevon Lai',