Hasrat beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka China BWF tidak kesampaian selepas tewas secara set langsung kepada pasangan pilihan kelima dari Korea Selatan dalam aksi separuh akhir di Guangzhou sebentar tadi.
Turun selaku peserta bukan pilihan, pasangan negara itu memberikan tentangan sengit kepada juara dunia, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dalam set pembukaan, di mana mereka mendahului 11-8 selepas saling bekejaran mata sejak awal permainan.
Biarpun pada satu ketika pasangan negara itu hanya memerlukan dua mata untuk memenangi set berkenaan di kedudukan 19-17, mereka membenarkan lawan memperoleh empat mata berturut-turut, sekali gus akur melepaskan set berkenaan dengan tewas 19-21.
Kekalahan itu jelas meragut keyakinan Kian Meng dan Pei Jing dalam set kedua dan sebaik kedudukan terikat 5-5, mereka tidak pernah dapat memintas lawan sebelum akur menamatkan pertarungan selama 34 minit itu dengan kekalahan 11-21.
Muzaffar Musa
Sat Sep 09 2023