Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka China BWF apabila menumbangkan gandingan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho, secara set langsung di Guangzhou sebentar tadi.

Beregu negara berkenaan mula memacu mata selepas kedudukan terikat 4-4 dalam set pertama sebelum mudah manamatkan set berkenaan dengan kemenangan 21-10.

bagaimanapun, aksi dalam set kedua berlangsung lebih mencabar buat bekas juara dunia berkenaan, di mana mereka ketinggalan sejak awal aksi dan berada dalam keadaan getir ketika ketinggalan 16-20.

Aaron dan Wooi Yik membuktikan mereka juga memiliki kekuatan mental luar biasa untuk meraih empat mata berturut-turut bagi menyamakan kedudukan sebelum merampas set berkenaan dengan kemenangan 25-23.

Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong, dan pasangan Taiwan, Chang Ko Chui-Po Li Wei, bagi penentuan ke suku akhir esok.